Menyusun butir bicara, wanita itu akur jika sikap terlalu memanjakan anak lelaki tunggalnya, Kefli (bukan nama sebenar), 37, menjadikan si anak boros serta tidak berdikari.
“Mungkin anak orang lain sibuk berbakti kepada orang tua masing-masing, saya pula masih pening kepala dengan sikap keanak-anakannya walaupun usia sudah lewat 30-an,” ujarnya bingung.
Rogayah mengakui memberi la­yanan istimewa kepada Kefli berbanding dua orang anak perempuannya memandangkan dia merupakan satu-satunya anak lelaki yang dimiliki.
Biarpun sebagai anak sulung, Kefli lebih manja daripada adik-adiknya dan sentiasa mengharap ibu bapanya dalam banyak hal.
“Saya memang banyak berhabis duit untuk Kefli tetapi wang tidak pernah menjadi isu kerana kami sekeluarga boleh dikategorikan sebagai golongan berada.
“Hal ini sedikit sebanyak membuatkan Kefli tahu, dia sentiasa boleh bergantung kepada saya atau ayahnya jika dilanda masalah, tetapi isunya sampai bila kerana kami sudah tua dan duit boleh habis jika tidak diuruskan dengan baik,” katanya.
Hadiahkan kereta
Cerita Rogayah, dia kesal kerana tidak pernah bertegas dengan Kefli tentang soal pendidikan kerana sebelum ini berpendapat anak lelaki­nya itu akan mewarisi perniagaan yang diusahakan sama ada suka atau tidak.
“Saya tidak pernah memarahi Kefli apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didudukinya tidak memberangsangkan. Apabila dia gagal menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian swasta pun saya pejam sebelah mata.
“Silap saya tidak pernah menegurnya hinggakan dia memperjudikan nasib dengan sikap lalai dan suka main-main yang akhirnya membawa kerugian kepada diri sendiri,” kata wanita yang berasal dari Pantai Timur itu.
Rasa terkilan di hati Rogayah terubat sedikit selepas Kefli mendapat kerja sebagai seorang pramugara di sebuah syarikat penerbangan.
Dia mengharapkan pekerjaan tersebut akan menjadi titik permulaan baharu buat Kefli dalam hidupnya. Sebagai penyuntik semangat, Rogayah membayar wang pendahuluan untuk membeli sebuah kereta sebagai hadiah buat anak lelakinya itu.
Begitu pun, tidak sampai setahun, dia mendapat notis pemberitahuan daripada pihak bank mengatakan Kefli gagal membayar ansuran bulanan kereta berkenaan.
“Ingatkan apabila sudah ada gaji, pandailah menguruskan duit sendiri. Ini tidak, setiap kali ditanya ke mana duit gajinya pergi, pasti jawapannya tidak cukup.
“Sudahnya saya yang perlu memberi duit belanja tambahan sehingga gaji seterusnya,” kata Rogayah sambil memberitahu perkara itu tidak pernah diceritakan kepada suami kerana bimbang Kefli akan dimarahi.
Tidak pernah belajar daripada kesilapan, Kefli terus lalai melunaskan tanggungjawab sehingga kereta pemberian ibunya itu akhirnya terpaksa ditarik oleh pihak bank.
“Bukan sahaja kena tarik, kereta itu turut dilelong kerana Kefli tidak memaklumkan perkara itu kepada saya untuk menyelesaikan bayaran tunggakan. Saya hanya mengetahui hal itu selepas pihak bank menuntut baki hutang pinjaman pembiayaan,” cerita Rogayah.
Masalah disiplin
Tidak pernah berkira dengan anak lelakinya itu, Rogayah membelikan sebuah kereta lain beberapa tahun kemudian, namun kende­raan itu turut menerima nasib serupa.
“Saya belikan dia dua buah kereta untuk kemudahannya bergerak tetapi dia tidak pernah tahu untuk berterima kasih.
“Apabila jadi begini, suami turut menuding jari dengan menyalahkan saya kerana terlalu memanjakan­nya. Hal ini membuatkan saya berasa jauh hati kerana niat saya hanya untuk memberikan yang terbaik buat Kefli,” tuturnya.
Lebih menjadikannya tertekan apabila Kefli turut dibuang kerja kerana masalah disiplin meskipun memiliki rekod tempoh perkhidmatan melebihi 10 tahun.
“Saya suruh dia bekerja dengan saya tetapi dia enggan kerana tidak meminati dunia bisnes. Dia minta saya menggunakan ‘orang dalam’ untuk cari kerja di syarikat penerbangan lain tetapi tidak berjaya.
“Mereka pun tidak dapat tolong kerana keputusan SPM yang teruk. Akhirnya dia ambil keputusan be­kerja sebagai jurujual di sebuah butik jenama mewah di ibu negara,” cerita Rogayah.
Rogayah juga terpaksa akur dengan keputusan suami yang enggan membenarkan Kefli berkahwin selagi dia tidak mampu berdikari dan mencari duit sendiri.
“Sebelum ini, Kefli pernah bertunang dan berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya tetapi terkubur begitu sahaja kera­na dia tidak dapat menyediakan wang hantaran buat pihak perempuan.
“Bapanya memang bertegas tidak mahu membiarkannya menjadi suami orang kalau masih belum boleh menyara diri sendiri. Dia tidak mahu Kefli terus mengharap­kan duit ibu bapa untuk menyara keluarganya kelak, lebih-lebih lagi dengan keadaan kewangannya yang tidak stabil,” ceritanya.
Di sebalik dugaan itu, Rogayah sentiasa berdoa agar Kefli berubah menjadi lebih bertanggungjawab dan berdikari suatu hari nanti.