Indahnya Matahari Terbenam Di Pulau Jeju - Bulletin Saya

Thursday 15 November 2018

Indahnya Matahari Terbenam Di Pulau Jeju

0
Indahnya Matahari Terbenam Di Pulau Jeju

SELENDANG bercorak bunga rona merah hati dililitkan pada leher bagi mengurangkan kedinginan yang menyapa batang tubuh Ridhi Kale, seorang pelancong dari New Delhi, India tatkala dia berjalan menuju kapal layar mewah Shangri-La V yang sedang berlabuh di marina Pasific Land di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Cuaca pada petang Khamis itu sedikit dingin dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Kurang sejam lagi matahari akan terbenam.

Pengunjung yang ingin merasai pengalaman belayar menaiki kapal layar mewah tersebut dikehendaki memakai jaket keselamatan.

Gelas dan set kulteri tersusun kemas di atas meja di ruang dek di dalam kapal layar berkenaan.

Selepas mendengar taklimat keselamatan yang dipaparkan pada skrin televisyen dalam dek, pengangkutan air tersebut mula bergerak meninggalkan pelabuhan.

Menurut wanita itu, menaiki kapal layar di negara yang terkenal dengan artis K-Pop tersebut adalah pengalaman pertamanya dan sesuatu yang menyeronokkan.

“Menaiki pengangkutan air termasuk pelbagai jenis bot bukan suatu yang luar biasa bagi saya.


“Di India, saya pernah menaiki sejenis perahu kayu dikenali sebagai Shikara ketika menyelusuri Tasik Dal, Kashmir.

“Saya juga pernah menaiki bot semasa mengunjungi Sri Lanka, Australia dan Chicago, Amerika Syarikat,” dia menjelaskan dengan ramah ketika berbual dengan wakil Kosmo! di Pulau Jeju baru-baru ini.

Wanita tersebut mengakui dia sangat teruja berpeluang menaiki kapal layar berkenaan dan telah merakamkan banyak gambar untuk dijadikan kenang-kenangan.

Ridhi yang pertama kali berkunjung ke republik itu dan berada selama lima hari juga berkata, kapal layar Shangri-La V luas dan selesa selain sangat sesuai untuk melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

“Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam di tengah laut dan ia sangat mengagumkan,” tambah wanita tersebut.

Perjalanan yang memakan masa selama sejam itu memberi peluang kepada pengunjung dari dalam mahupun luar negara menyelusuri pantai Seogwipo Jungmun di Pulau Jeju.


Semasa berlayar, pengunjung pastinya mengagumi pemandangan Cerun Jusangjeolli yang terbentuk akibat formasi gunung berapi.

Selain menikmati keindahan pulau berkenaan sambil minum dan menjamu selera makanan ringan, pengunjung juga mencuba memancing ikan menggunakan joran-joran yang telah disediakan di bahagian kiri dan kanan kapal berkenaan.

Sementara itu, pemandu pelancong agensi pelancongan Appletree yang beribu pejabat di Seoul, Korea Selatan, Sophia Jiyoung Choi berkata, pengembaraan menaiki kapal layar mewah adalah salah satu daripada tarikan menarik di bandar Seogwipo, selatan Pulau Jeju.

Keindahan alam

“Seogwipo ialah bandar kedua terbesar di Pulau Jeju yang terletak di pantai gunung berapi.

“Pengembaraan menaiki kapal layar yang elegan memberi peluang kepada pelancong menyaksikan pemandangan marina dan pantai yang indah di sekitar pantai selatan pulau ini,” ujar wanita berusia 36 tahun tersebut.

Pulau Jeju boleh dikunjungi melalui penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju yang terletak di bahagian utara pulau.

“Penerbangan dari Seoul biasanya mengambil masa satu jam manakala ia memakan masa kurang dari satu jam melalui pantai selatan bandar Busan,” tambah Sophia yang sudah berpengalaman selama enam tahun berkhidmat sebagai pemandu pelancong.

Ujar Sophia, Pulau Jeju terkenal dengan keindahan alam semula jadi.

Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment