Keluarga Dedah Sakit Misteri Dan Punca Kematian Allahyarham Sudirman Yang Tidak Masuk Akal - Bulletin Saya

Tuesday, 31 October 2017

Keluarga Dedah Sakit Misteri Dan Punca Kematian Allahyarham Sudirman Yang Tidak Masuk Akal

0
Keluarga Dedah Sakit Misteri Dan Punca Kematian Allahyarham Sudirman Yang Tidak Masuk Akal

KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk ‘menyembunyikan’ Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan.

Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu.


Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak ‘menyorokkannya’.


“Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. 


Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan ‘cute’.


“Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh.


“Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian,” katanya.

Habsah berkata demikian ketika menjadi tetamu siri Pesona Seni Aswara – Mengenang Sudirman: Program Kecil Berjiwa Besar di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.


Program yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Aswara, Datuk Omar Awang itu menampilkan Mohd Kamarulzaman Taib sebagai moderator.


Habsah berkata, berdasarkan keakrabannya dengan penyanyi itu, beliau mendapati Sudirman ialah seorang pemerhati, ada pandangannya sendiri, memiliki ilmu dan pengetahuan am yang sangat baik.

Katanya, hal ini boleh ditemui menerusi kebanyakan lagu nyanyiannya kerana itu ia menjadikan Sudirman satu-satunya penyanyi yang berani tampil dengan lagu mencakupi pelbagai tema kehidupan.

“Saya secara peribadi berasakan apa yang dibuat oleh Sudirman belum boleh digantikan oleh penyanyi sekarang. Saya bukanlah hendak melebihkan Sudirman kerana rapat dengan Allahyarham, tetapi anda boleh kaji sendiri lagu nyanyiannya, tulisannya, komik yang pernah dihasilkannya. Anda akan dapat apa saja daripada soal isu semasa, kerjaya, kemasyarakatan sehinggalah kepada soal hati.

“Memang soal hati amat mengusik perasaan kerana Sudirman yang saya kenali lebih daripada seorang yang romantis,” katanya.

Katanya, Konsert Jalanan yang dibuat oleh Sudirman pada tahun 1984 adalah konsert terbesar yang berjaya menarik lebih 100,000 orang untuk menyaksikannya dan ia adalah antara bukti penyanyi itu mempunyai kesungguhan dalam kerjayanya.

“Untuk memastikan konsert itu berjaya, dia tidak menyerahkan semua urusan 100 peratus kepada orang lain. Sebab itu, Sudirman menguruskan banyak perkara termasuklah mendapatkan permit polis,” katanya.

Habsah berkata, Sudirman juga tidak menafikan dia bukanlah seorang penyanyi yang mempunyai suara berkualiti, fizikalnya pendek dan tidak tampan seperti kebanyakan penyanyi lain dan itu semua dianggap dirasakan sebagai kekurangan pada dirinya.

Katanya, Sudirman juga sangat berani dalam menentukan lagu yang hendak dirakamkan dalam albumnya tanpa mempedulikan sama ada ia boleh diterima oleh peminat dan pendengar.
Berat badan Sudir kelihatan susut ketika ini

“Sudirman seorang yang tidak kisah sama ada peminat mahu terima atau tidak. Baginya, sebagai penyanyi, bukan masyarakat yang berhak menentukan pilihan lagu yang hendak dinyanyikannya. Sudirman berasakan dia yang berhak tentukan dan memang banyak lagunya berjaya.

“Seingat saya, Sudirman adalah satu-satunya penyanyi di negara ini yang berani bercakap pasal patriotik. Dialah penyanyi yang merakamkan album yang semua lagunya bertemakan patriotik.

“Dia bukan sekadar seorang yang tidak takut mencuba tapi memang tidak takut untuk buat. Dan, Sudirman juga penyanyi yang ada jati diri cukup kuat. Dia buat album lagu Melayu seperti deli, joget, asli. Sememangnya dia seorang berfikiran jauh seolah-olah tahu dan yakin dia tidak hidup lama,” katanya.
Saudara kandung Allahyarham Sudirman

Tambahnya lagi, Sudirman juga mahu membuktikan sesuatu iaitu sekiranya dia sudah tiada di dunia tetapi namanya tidak mudah dipadamkan dalam sejarah kerana penyanyi ini meninggalkan jejak yang sukar diganti.

“Dia seorang yang kerja kuat. Mungkin pelik tetapi untuk mendapatkan tenaga, Sudirman suka makan telur mentah,” jelas Habsah lagi.


Dalam diskusi itu, Mohd Kamarulzaman atau Che’ Kem yang kini dikenali sebagai Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya, mengemukakan beberapa persoalan kepada Habsah berhubung dengan beberapa seni kata tulisannya yang cukup menyentuh jiwa apabila dinyanyikan oleh Sudirman seperti lagu Terasing, Merisik Khabar, Jauh Di Sudut Hati dan Salam Terakhir.

Mengulas perkara itu, Habsah menjelaskan, dia menulis seni kata secara tidak dirancang dan kebanyakannya disiapkan pada saat akhir iaitu ketika Sudirman sedang bersiap sedia untuk memulakan rakaman suara.

“Misalnya lagu Terasing. Lagu dan melodinya sudah disiapkan oleh Manan Ngah. Dia dan Sudirman sudah berada di studio untuk memulakan rakaman. Manan juga sudah menyiapkan liriknya tetapi Sudirman menolak. Manan kemudian menghubungi saya minta tulis lirik untuk Sudirman.

“Saya rasa dalam masa tidak sampai dua jam, lirik Terasing disiapkan dan Sudirman terus merakamkannya. Tapi disebabkan keakraban saya dengan dia menjadikan sedikit sebanyak memang boleh memahami perasaannya,” katanya.

Tambah Habsah, keakraban itu menjadikan Sudirman dianggap sebagai adiknya dan penyanyi itu sering bercerita mengenai harapan, impian dan cita-cita serta bebas menelefon pada bila-bila masa saja.

“Nasib baik suami sudah memahami sangat hubungan saya dengan Sudirman. Ada suatu ketika dia menelefon saya dalam keadaan sedih, sayu dan menangis.

 Dia memang berterus terang dengan apa yang tersimpan di hatinya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan suruh dia bersabar dan banyak beristighfar.
“Lagu Merisik Khabar dinyanyikan Sudirman dengan penuh perasaan kerana liriknya memang satu luahan dalam dirinya pada waktu itu,” katanya.

Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment