AirAsia Nafi Bung Moktar Dicaj RM2,000 Ke Sabah
KUALA LUMPUR ― AirAsia menafikan telah mengenakan caj sehingga RM2,000 untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sandakan seperti dakwaan wakil rakyat Umno.
Datuk Bung Moktar Radin mendakwa syarikat tambang murah itu mengenakan caj tinggi untuk penerbangan domestik itu dan “caj tersembunyi” yang lain.
Ketua pegawai eksekutif AirAsia berkata tidak mungkin Bung Moktar membayar RM2,000 untuk perjalanan sehala sedangkan harga siling cuma RM1,180.
“Dakwaan ahli parlimen itu tentang kos perjalanan sehala RM2,000 tidak benar sama sekali,” kata Aireen Omar dalam kenyataan hari ini, petik MMO.
“Penerbangan sehala AirAsia antara Sandakan dan Kuala Lumpur puratanya RM213.
“Malah ketika musim kemuncak, dengan muatan penuh, tambang kami hanya kira-kira RM1,180, yang masih termurah [kadarnya] dalam pasaran.”
Dalam persidangan Dewan Rakyat, Bung Moktar menuduh syarikat berkenaan dan Malaysia Airlines tidak menyediakan cukup perkhidmatan untuk Sabah.