7 Petua Rawat Masalah Kencing Tak Lawas. Kencing tak lawas membuatkan seseorang tidak senang duduk. Terasa seperti tidak puas bila kencing.
Aliran air kencing seperti tersekat. Dah buang air kecil tapi masih rasa seperti nak kencing lagi
Aliran air kencing seperti tersekat. Dah buang air kecil tapi masih rasa seperti nak kencing lagi
Apakah Punca Kencing Tidak Lawas?
Anda pasti tertanya-tanya apakah punca yang menyebabkan anda seperti hendak duduk sahaja dalam tandas kerana asyik rasa nak terkencing. Tetapi bila buang air kecil, alirannya sedikit sahaja atau tersekat.
Punca utama yang menyebabkan masalah kencing tidak lawas selalunya kerana kurang minum air suam. Air suam bukan sahaja untuk menghilangkan dahaga dan mengelakkan dehidrasi badan tetapi amalan meminum air suam secukupnya setiap hari juga membantu menyingkirkan toksin dan kekotoran dari dalam badan. Bila badan kurang air, mudah untuk terkena penyakit kencing kotor atau kencing dijangkiti kuman.
Lagi satu penyebab kencing tidak lawas adalah kerana suka tahan kencing. Dah rasa nak terkencing tetapi tetap nak tahan sebab nak siapkan kerja dulu. Nampak seperti perkara remeh tapi tabiat suka menahan kencing sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan anda. Bila anda tahan kencing, toksin atau kekotoran yang sepatutnya keluar dari badan akan mula terperangkap dan membuatkan kuman mudah membiak.
Selain itu anda juga perlu pastikan kebersihan kawasan intim diutamakan. Setiap kali selepas membuang air perlu bersihkan kawasan intim untuk mengelak pembiakan kuman.
7 Petua Rawat Masalah Kencing Tak Lawas
Namun adakalanya walaupun segala punca telah dielakkan, tetap juga berlaku masalah kencing tidak lawas. Jangan risau jika ianya terjadi. Anda boleh cuba 7 petua yang Notawanita kongsikan ini untuk menghilangkan kencing tidak lawas.
1) Air Barli – Rebus biji air barli dengan air sehingga kembang. Boleh ditambah sedikit gula untuk menambah rasa. Amalkan minum air barli yang telah suam. Air barli dapat membantu melegakan masalah kencing tidak lawas. Ia memang mujarab.
2) Jus Nenas – Anda juga boleh cuba minum jus nenas untuk rawat kencing tidak lawas. Ambil sebiji nenas separuh masak. Kupas kulitnya, bersihkan dan potong. Kemudian kisarkan dan tapis. Minum jus nenas dua kali sehari sehingga masalah kecing tak lawas hilang.
3) Minum Air Suam – Badan perlukan air yang cukup untuk berfungsi dengan baik. Jadi untuk memastikan proses buang air kecil lancar, anda perlu lebihkan minum air suam. Anda akan dapati masalah kencing tak lawas beransur hilang.
4) Bersenam – Bila anda mengalami masalah kencing tidak lawas, elok jika anda buat senaman. Anda boleh pilih untuk berjalan kaki atau buat Squat Jump. Senaman adalah bertujuan untuk menguatkan otot-otot. Badan yang kurang aktif juga boleh menyebabkan pembuangan air kecil seolah tersekat.
5) Air Rebusan Daun Sirih – Daun sirih mempunyai khasiatnya tersendiri. Ia jua berkhasiat untuk merawat masalah kencing tidak lawas. Anda hanya perlu mengambil beberapa helai daun sirih dan kemudian rebuskan dengan air. Biarkan sampai mendidih. Selepas itu amalkan minum air rebusan daun sirih itu.
6) Air Basuhan Beras – Satu lagi petua yang boleh anda cuba untuk mengatasi masalah kencing tidak lawas adalah dengan minum air basuhan beras. Gunakan air basuhan beras yang terakhir. Pastikan anda basuh dengan air suam ye, bukan dengan air paip yang tidak bertapis. Amalkan setiap hari sehingga masalah kencing tidak lawas dapat dirawat.
7) Elak Memakai Pakaian Yang Ketat – Amalkan memakai pakaian yang longgar dan selesa kerana pakaian yang terlalu ketat terutamanya di bahagian pinggang ataupun memakai seluar yang terlalu ketat juga boleh menyebabkan aliran air kencing tersekat.
Harus diingatkan artikel 7 Petua Rawat Masalah Kencing Tak Lawas adalah sekadar perkongsian informasi tambahan. Sekiranya anda kerap mengalami masalah kencing tidak lawas, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut untuk mengelak berlakunya masalah kesihatan yang lain pula.