Pondok Penunggu Durian
"OH kome durian udah luruh,
lebih baik cepat pegi suluh,
lambat sikit kome dapat habuk,
kalau tido jawabnya tingge (tinggal) pokok'
Menunggu masa gugur ke bumi.
http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2017/12/05/menunggu-durian-luruh/#7O3LIeQ9eZrkuC8K.99
Pondok menunggu durian gugur di dalam dusun.
lebih baik cepat pegi suluh,
lambat sikit kome dapat habuk,
kalau tido jawabnya tingge (tinggal) pokok'
SEPOTONG lirik lagu nyanyian Allahyarham Mr Os dalam loghat Perak ini bukan sekadar nyanyian menghibur hati tetapi adalah gambaran benar ketika musim durian.
Apabila durian mula gugur, dusun mesti dijaga dan diawasi siang malam. Jika tidak, tiada apa yang diperoleh, semuanya diambil orang.
Dusun durian yang tidak berpagar memang mudah dibolosi oleh sesiapa sahaja untuk mengambil buahnya, termasuk oleh mereka yang tidak berkenaan.
Tanpa pengawasan rapi buah durian mudah dicuri.
Kerana itulah pemilik dusun akan memastikan kawalan berpanjangan siang malam sepanjang musim buah gugur sehinggalah ke penghujung musim.
Sedikit lalai atau membiarkan dusun tanpa penjaga untuk waktu yang lama, hanya memberi peluang kepada orang lain mengutip buah.
Waktu dinihari merangkak ke subuh, dalam dakapan sejuk malam, adalah masa insan lena diulit mimpi.
Buah durian bergayutan di dahan menunggu masa untuk gugur.
Namun tidak demikian halnya bagi mereka yang berada dalam dusun durian menunggu raja buah itu gugur. Mata sentiasa terbuka atau sekadar tidur-tidur ayam sementara telinga perlu tajam mendengar bunyi durian gugur.
Durian gugur tidak diketahui masa dan ketika. Perlu menunggu dengan sabar. Ada yang gugur di waktu pagi, tengahari, petang atau malam.
Kerana penantian yang tidak pasti ini mereka yang menunggu buah gugur akan berada dalam kebun dari pagi hingga ke pagi esoknya, biasanya secara bergilir.
Untuk kemudahan menunggu, sebuah bangsal kecil didirikan di dalam dusun. Di sinilah si penunggu berehat dan berteduh, siang atau malam.
Oleh kerana buah durian disukai ramai dan harganya mahal, ia jadi sasaran pencuri. Kerana itulah pemilik dusun tidak akan meninggalkan kebun untuk waktu yang lama, sebaliknya memastikan sentiasa ada yang ‘berkawal’ sepanjang masa.
Jika tidak, durian tersebut pasti menjadi rezeki orang lain. Inilah yang berlaku apabila tiada kelibat penjaga di dusun.
Menunggu durian gugur di dusun arwah datuk di Changkat Jering,Taiping baru-baru ini memberikan penulis pengalaman berharga dalam memahami dan merasai sendiri keseronokan dan cabaran menunggu buah gugur.
Kawasan Bukit Gantang, termasuk Changkat Jering, dikenali sebagai antara kawasan dusun durian yang terkenal di negeri Perak. Banyak bekalan durian di pasaran berasal dari kawasan ini.
Dusun durian arwah datuk tidak terlalu luas. Namun setiap pokok lebat buahnya. Kesemuanya merupakan pokok asal yang ditanam sejak berpuluh tahun lalu.
Oleh itu pokoknya sudah tinggi sayup mata memandang. Namun jelas nampak buah bergayutan di setiap dahan menunggu masa untuk gugur.
Pengalaman menunggu durian gugur sangat menyeronokkan.
Walaupun bertarung dengan sejuk pagi, panas tengahari atau sejuk malam dinihari, hati sangat teruja apabila mendengar bunyi buah gugur ke bumi.
Kepuasan terasa pabila mengutip dan mengumpul buah yang gugur.
Ada sebiji dua buah yang gugur ini sudah ditebuk tupai. Namun ada pangsa daripada durian yang ditebuk ini tidak berusik. Isinya masih elok untuk dimakan.
Dikatakan durian yang ditebuk tupai isinya sedap. Pandai pula tupai memilih! Kadangkala hairan juga bagaimana tupai boleh menebuk durian berduri tajam tanpa mencederakan mulutnya.
Proses menunggu buah gugur bermula pada sebelah pagi selepas subuh. Tidak diketahui bila dan dari pokok mana buah akan gugur.
Kadang-kadang sehingga beberapa jam menunggu belum ada yang gugur.
Satu bakul penuh durian baru gugur.
Penulis sendiri merasai keresahan menunggu. Hati melonjak gembira apabila terdengar bunyi buah terhempas ke bumi.
Jika murah rezeki, menjelang zohor banyak durian dikutip. Jika tidak, hanya sedikit diperoleh. Selepas zohor akan kembali semula ke dusun hingga asar.
Mungkin ada buah yang gugur di antara waktu yang ditinggalkan ini jika tidak diambil orang.
Selepas asar kembali semula ke dusun menunggu rezeki sebelah petang sehinggalah menjelang maghrib.
Selepas isyak, kembali semula ke dusun untuk penantian sebelah malam hingga menjelang subuh.
Penantian di sebelah malam sangat mencabar kerana menunggu durian gugur dalam sinaran lampu lilin atau minyak tanah serta lampu suluh.
Suasana sekeliling bukan sahaja sejuk tetapi menakutkan. Kerana itu waktu malam elok menunggu dengan berteman.
Selain sejuk dan sekeliling yang sunyi, nyamuk juga sering mengganggu. Kenalah membawa ubat nyamuk atau menyalakan unggun api.
Bimbang ditimpa durian, bersedialah dengan topi 'combat'.
Buah yang gugur boleh dikutip ketika itu juga atau menunggu sehingga awal pagi. Yang penting penunggu perlu berada di dusun untuk memastikan tiada yang akan menceroboh mencuri buah.
Bergilir menunggu di dusun bukan satu masalah besar.
Ini kerana pada musim durian ramai anak beranak atau saudara mara balik untuk merasai durian kampung. Pada masa yang sama mereka bergilir sesama ahli keluarga menunggu buah gugur.
Bagi penulis, selain penulis sendiri, adik beradik, sepupu, pakcik makcik dan sanak sedara balik bergilir menunggu dusun.
Dengan penggiliran ini, dusun sentiasa ada `penunggu’. Ini mengurangkan peluang orang luar untuk mengutip buah yang gugur.
Untuk menghidupkan suasana dan menambah keseronokan, kami berkelah di dalam kebun dengan membawa makanan dan minuman, sama ada untuk minum pagi atau makan tengah hari.
Kami menikmati makanan dan minuman dalam suasana riang.
Lebih menyelerakan, ditambah menu durian. Buah yang baru gugur dibelah dan isinya dimakan beramai-ramai. Isinya sangat fresh dan enak.
Ada pula yang membawa pulut siap ditanak serta santan segar ke kebun untuk dimakan bersama buah durian.
Bagi yang menggemarinya, memang menyelerakan.
Nikmatnya dapat makan durian segar!
Bergantung kepada pokok, isi durian dan rasanya berlainan.
Ada durian yang isinya kuning dan lemak. Ada pula yang isinya putih. Apabila dimakan rasanya pahit-pahit manis. Ramai yang suka rasa begini.
Selain itu ada yang rasanya lemak manis.Yang pasti kesemuanya enak.
Bagi mereka yang memiliki kawasan dusun durian yang luas, buahnya dijual kepada peraih.
Jualan dibuat secara timbang. Kadar harga bergantung kepada saiz dan jenis buah. Buah yang elok dan bersaiz besar harganya lebih mahal.
Harga jualan dari kebun kampung kepada peraih antara RM8 hingga RM10 sekilogram, atau lebih.
Oleh itu tidak hairanlah apabila tiba di pasaran harganya menjangkau antara RM15 hingga RM30 sekilogram.
Durian tidak lagi dijual mengikut biji sekarang, semua ditimbang.
Pengalaman penulis mendapati penantian, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang atau malam pasti ada hasil.
Setiap waktu ini pasti ada buah gugur, cuma kuantitinya tidak menentu. Ada kala banyak di waktu pagi, ada kala banyak di waktu petang atau malam.
Biasanya tempoh tamat musim durian mengambil masa.
Ini kerana buah durian tidak masak serentak dan tidak gugur serentak. Inilah kebesaran Allah.
Akan ada pokok yang buahnya masak awal dan gugur lebih awal.
Pada masa yang sama ada pokok yang buahnya masak kemudian. Apabila buah yang masak awal habis gugur, buah yang masak kemudian pula akan gugur.
Justeru proses buah gugur ini akan berterusan untuk satu tempoh waktu tertentu hingga dua tiga bulan.
Musim durian dikira sampai ke penghujung apabila buah habis gugur atau tinggal hanya beberapa biji di pokok.
Menjelang penghujung musim, `kawalan’ di dusun sudah tidak terlalu ketat.
Saudara mara yang silih berganti menunggu dusun juga sudah balik.
Panjang umur InsyaAllah berjumpa lagi pada musim durian akan datang.
http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2017/12/05/menunggu-durian-luruh/#7O3LIeQ9eZrkuC8K.99