Program realiti CTDK-ation bakal memperlihatkan kepada penonton perjalanan percutian Siti bersama keluarganya di tiga buah negara iaitu Portugal, Sepanyol dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Artis Tempatan Paling Tinggi Jumlah Penstriman sepanjang 2017 di aplikasi Spotify itu memberitahu, beliau sangat teruja apabila dapat menziarah banyak destinasi menarik di tiga buah negara berkenaan.

“Saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Portugal, malah ia merupakan suatu pengalaman baharu kepada diri ini, apatah lagi dapat menghabiskan masa cukup berharga bersama keluarga.
“Bagaimanapun, saya sangat teruja apabila diberi kesempatan untuk melawat beberapa tempat peninggalan Islam dan mendapat pendedahan tentang sejarah dulu,” ujarnya.
Wanita berusia 38 tahun itu memberitahu, terdapat ramai peminat bertanya tentang program yang menjalani penggambaran selama 20 hari tersebut pada tahun lalu.
Katanya, para penonton dapat menyaksikan sendiri perjalanan percutian beliau sekeluarga yang mempunyai pelbagai detik bahagia, cabaran, rintangan dan banyak lagi untuk tatapan mereka.
Program 10 episod itu bakal bersiaran setiap hari Jumaat bermula 29 Disember ini di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.

Pengalaman hamil


Dalam pada itu, Siti yang menjadi perhatian peminat setia muzik tanah air sejak mengumumkan kehamilannya pada bulan Oktober lalu tidak berdepan sebarang masalah mengidam makanan pelik-pelik.
“Bagaimanapun, saya teringin hendak makan limau manis semasa mengandung. Saya teringat keenakan limau manis di Palestin yang dikunjungi pada tahun lalu.
“Saya telah meminta bantuan seorang ustaz yang sering berkunjung ke sana untuk mendapatkan limau berkenaan tetapi apabila dibawa pulang ia tidak semanis dahulu kerana bukan musim buah terbabit,” katanya.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu menambah, semasa trimester pertama kehamilan, beliau tidak boleh menikmati makanan yang pedas dan masam.
Katanya, beliau mengalami alahan terhadap makanan pedas dan masam semasa trimester pertama kehamilan.
“Saya suka makan pedas tetapi alahan ini telah menyebabkan saya merindui masakan pedas,” katanya yang menerima banyak barangan produk bayi daripada peminat.
Siti menambah, beliau juga berdepan ketidakselesaan sepanjang tempoh empat bulan pertama apabila berasa loya tetapi tidak boleh muntah.
“Saya berasa loya sepanjang hari selama kira-kira empat bulan sehingga menyebabkan rasa tidak selesa dan lemah-lemah. Bahkan, tidak boleh memasuki dapur kerana tidak selesa dengan bau dapur.
“Bagaimanapun, saya semakin pulih dan boleh masak semula, malah pernafasan juga bertambah baik serta tidak memerlukan menggunakan kerusi roda seperti trimester pertama kehamilan,” katanya.

Tawaran


Biarpun usia kandungan penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu sudah menjengah enam bulan, beliau masih menerima tawaran undangan nyanyian.
Bagaimanapun, Siti masih berehat daripada aktiviti nyanyian dan terpaksa menolak sebarang tawaran undangan untuk memastikan kesihatan serta kebajikan kandungan.
“Ada juga yang ingin saya menyanyi satu atau dua lagu sahaja tetapi terpaksa ditolak kerana mahu memberi tumpuan kepada kandungan bayi,” katanya.
Siti memberitahu, mengikut perancangan, beliau juga akan berehat daripada sebarang aktiviti sekitar enam bulan selepas melahirkan anak kelak.
Katanya, beliau ingin memberi fokus kepada pembesaran bayi terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti seni dan tugas harian dalam perniagaan.

Karya khas buat bayi


Bercerita mengenai perkembangan terbaharu kerjayanya, beliau mahu muncul dengan single terbaharu dalam masa terdekat.
Siti berkata, single terbaharu berkenaan merupakan karya ciptaannya sendiri sebagai hadiah kepada anak sulungnya yang bakal lahir pada tahun depan.
Pelantun lagu Segala Perasaan itu menjelaskan, beliau telah mencipta tiga buah melodi lagu untuk bayi sulungnya.
“Sejak sebulan lalu, saya sudah mula menyanyi semula. Bahkan, telah mendapat ilham lagu berkenaan ketika berada di dalam bilik mandi.
“Begitupun, saya akan memilih satu daripada tiga melodi berkenaan sebelum bersalin untuk dirakamkan sebagai hadiah kepada anak yang dijangka dilahirkan pada tahun depan,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.
Wanita peramah itu menjelaskan, melodi berkenaan masih belum mempunyai tajuk tetapi akan dirakam sebelum beliau melahirkan anaknya.
Siti menambah, beliau terdetik untuk menggubah melodi berkenaan agar sentiasa mengingati anaknya apabila mendendangkan lagu tersebut.
“Saya berharap apabila anak meningkat dewasa kelak, dia sentiasa mengingati saya mencipta sebuah lagu untuk dirinya.
“Pada masa sama, peminat juga dapat menyanyikan lagu berkenaan kepada anak-anak mereka,” katanya.
Selain daripada single terbaharu, Siti memberitahu beliau akan muncul sebagai watak kartun dalam Didi & Friends.
“Saya akan membuat penampilan istimewa dalam kolaborasi bersama Didi & Friends. Siri kartun terkenal tanah air itu akan membuat tayangan istimewa di pawagam dan saya muncul sebagai penampilan istimewa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, beliau dalam perancangan untuk mengadakan konsert di Indonesia dan Singapura pada penghujung tahun depan.
Ditebak berhubung pengumuman jantina bayi yang bakal dilahirkannya kelak, Siti masih merahsiakan daripada khalayak.
“Buat masa ini, saya tidak mempunyai tarikh tetap untuk pengumuman jantina bayi ini.
“Saya akan memaklumkan jantina bayi apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada suami,” ujarnya menutup bicara.

Agensi