Kesian Lelaki Ini...Terkandas Lebih Sebulan Di KLIA2
LELAKI warga Syria, 36, terkandas di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang selama lebih sebulan, seperti kes menyamai filem Steven Spielberg, The Terminal.
Hassan al Kontar menghantar blog video mengenai kehidupan sehari-harinya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media.
Lelaki itu yang mendakwa tinggal di lapangan terbang terbabit sejak 7 Mac lalu bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria, di mana perang saudara berlanjutan selama tujuh tahun.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran minggu ini mengenai tindakan ketenteraan di Syria berhubung serangan gas beracun.
“Saya bimbang diusir ke Syria, bukan kerana saya penakut, bukan kerana saya tidak tahu bagaimana berjuang, tetapi kerana saya tidak percaya dengan pertempuran.
“Saya tidak mahu menjadi mesin pembunuh, memusnahkan rumah sendiri dan menyakiti rakyat sendiri,” katanya kepada Reuters menerusi Skype.
Reuters tidak dapat mengesahkan keterangannya.
Manakala, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak lapangan terbang tidak menjawab permohonan untuk mengulas.
Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bertemu Hassan, namun berkata, pihaknya tidak dapat mengulas kes individu.
“UNHCR sedar kes ini dan sudah menghubungi individu dan pihak berkuasa,” kata Yante Ismail, jurucakap agensi itu di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.
Bekas jurujual insurans, Hassan berkata, dia tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila perang meletus di Syria.
Dia mendakwa diusir ke Kuala Lumpur pada 2016 selepas kedutaan Syria di UAE enggan memperbaharui pasportnya.
“Mereka mengusir saya ke Malaysia kerana ia antara segelintir negara yang menerima rakyat Syria tanpa visa,” katanya.
Dia mengambil masa lebih setahun sebelum mengumpul wang mencukupi untuk membeli tiket penerbangan ke Ecuador, namun syarikat penerbangan enggan membenarkannya masuk.
Dia bagaimanapun, tidak menjelaskan bagaimana mengumpul wang.
Lelaki itu, sebaliknya cuba terbang ke Kemboja, namun sekali lagi ditolak pihak berkuasa imigresen dan diusir ke Kuala Lumpur.
Katanya, dia sudah tinggal di zon transit KLIA2 selama 37 hari, bergantung kepada kebaikan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk makanan serta bekalan keperluan lain.
“Perkara yang anda fikir bukan masalah menjadi masalah dalam situasi ini. Di mana anda mandi? Bila? Jika anda mahu mencuci pakaian, di mana mengeringkannya?” katanya. -
sumber:Reuters
sumber:Reuters