Kubur Hancur..Dimana Mayat Saddam Hussein?
AL-AWJA, Iraq – Di kampung kelahirannya, Al-Awja, makam diktator Iraq, Saddam Hussein hanya tinggal runtuhan konkrit bersama lingkaran kawat berduri dan tiada tanda jenazahnya berada di sana.
Saddam dihukum gantung pada waktu subuh, 30 Disember 2006 selepas pemerintahan kuku besinya selama suku abad. Hukuman yang memalukan pengikut Sunnah itu disambut gembira oleh penduduk majoriti Syiah di Iraq.
Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W. Bush membenarkan jenazah diktator berkenaan diterbangkan dari Baghdad ke bandar Tikrit, dekat Al-Awja, utara Iraq.
Namun, kubur sebenar lelaki yang pernah mencetuskan ketakutan di hati rakyat Iraq itu kekal misteri. Ia berikutan spekulasi bahawa makam Saddam telah digali dan jenazahnya dikeluarkan.
Spekulasi itu bertiup kencang selepas penduduk setempat dilaporkan memindahkan jenazah Saddam ke tempat lain bagi mengelakkan jasadnya menjadi sasaran dendam semasa kemaraan militan Daesh sekitar tahun 2014.
Ketua puak Albu Nasser yang juga suku Saddam, Sheikh Manaf Ali Al-Nida berpegang teguh kepada sepucuk surat yang ditanda tangani keluarganya bahawa jenazah Saddam telah dikebumikan dengan segera.
Menurutnya, jenazah itu disemadikan di makam tersebut yang dipilih oleh Saddam beberapa tahun sebelum dia dihukum mati.
kubur Saddam Hussein
Makam itu dikunjungi ramai penyokongnya termasuk kanak-kanak sekolah terutama tanggal 28 April, iaitu hari kelahirannya.
Hari ini pelawat memerlukan kebenaran khas untuk melawat makam Saddam yang musnah, manakala Sheikh Manaf terpaksa meninggalkan kampung Al-Awja dan berlindung di wilayah Kurdistan, Iraq.
Sejak pendudukan AS di Iraq pada 2003, puak Albu Nasser ditindas kerana hubungannya dengan Saddam, kata Sheikh Manaf kepada agensi berita AFP.
“Adakah adil kami perlu membayar harga tinggi ini dari generasi ke generasi hanya kerana kami berasal daripada keluarga yang sama?” soalnya.
Di tapak perkuburan Saddam, kumpulan separa tentera Syiah, Hashed Al-Shaabi yang bertanggungjawab mengawal keselamatan kawasan berkenaan menyatakan bahawa makam itu musnah akibat serangan udara tentera Iraq yang menyasarkan militan Daesh.
Sheikh Manaf tiada di tempat kejadian semasa serangan udara itu berlaku tetapi beliau yakin makam Saddam telah digali dan diletupkan.
“Itu tidak benar, mayatnya masih di makam tersebut,” kata ketua keselamatan Hashed Al-Shaabi, Jaafar Al-Gharawi.
Salah seorang pejuangnya, bagaimanapun, mendakwa bahawa anak perempuan Saddam yang hidup dalam buangan, Hala telah menggunakan sebuah pesawat peribadi untuk mengangkut jenazah bapanya ke Jordan.
Namun, sebilangan individu termasuk warga Baghdad, Abu Samer percaya bahawa Saddam masih hidup.
“Saddam tidak mati. Individu miripnya yang menjalani hukuman gantung tersebut,” kata lelaki itu. – AFP
Mowaffak al-Rubaie duduk di pejabatnya dengan patung Saddam Hussein dibelakang, tali yang digunakan untuk menggantungnya melilit leher patung itu.
Bekas penasihat keselamatan kebangsaan Iraq itu yang menyaksikan bekas diktator berkenaan dihukum gantung pada 2006, berkata, Saddam tabah hingga detik akhir kehidupannya dan tidak pernah kesal.
Tukang Gantung Cerita Detik Akhir Saddam Hussein di Tali Gantung
“Penjenayah? Benar. Pembunuh? Benar. Kejam? Benar. Tetapi dia tabah hingga ke akhir hayat,” kata Mowaffak.
“Saya menyambutnya di pintu. Tiada siapa masuk ke situ. Tiada warga asing dan tiada pegawai Amerika,” katanya. kepada media di pejabatnya di Kadhimiyah, utara Baghdad berdekatan penjara tempat hukuman itu dijalankan tujuh tahun lalu.
“Ketika saya membawanya masuk, tangannya yang bergari memegang al-Quran.
“Saddam yang memakai jaket dan kemeja putih kelihatan tenang dan bersahaja.
“Ada yang berkata dia pengsan. Ada yang kata dia diberi dadah. Tetapi sebenarnya tidak.
“Tiada tanda takut pada wajahnya. Tiada tanda kesal. Tiada doa mohon keampunan.
“Orang yang akan mati biasanya akan berkata, Tuhan, ampunkan dosaku. Tetapi Saddam tidak berkata demikian,” katanya.
“Saya membawanya ke kamar hakim dan senarai tuduhan dibacakan kepadanya. Saddam berkata: ‘Pergi mati dengan Amerika! Pergi mati dengan Israel! Hidup Palestin!
Mowaffak kemudian membawa Saddam ke dalam bilik tempat hukuman dijalankan.
“Dia berhenti seketika, melihat bilik itu sebelum memandang saya.
Apabila tiba waktu hukuman, kakinya masih digari. Mowaffak dan beberapa kakitangan lain menariknya menaiki tangga.
Katanya, dia menarik tuil menggantung Saddam, tetapi tak berfungsi! Kemudian seorang lagi kakitangan menariknya untuk kali kedua dan barulah Saddam jatuh ke bawah pelantar dan mati.
Sebelum digantung, Saddam sempat mengucap syahadah.
“Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad…,” tetapi dia tidak sempat menghabiskannya.
“Dia melakukan begitu banyak jenayah dan dia patut digantung beribu kali,” kata Mowaffak
Menurutnya, hukuman ke atas Saddam dilakukan selepas sidang video antara Nuri al-Maliki dengan Presiden AS ketika itu, George Bush, yang bertanya Perdana Menteri Iraq itu: “Apa yang akan kamu lakukan dengan penjenayah itu.
Nuri menjawab: “Kami akan gantung dia.”
Bush menunjukkan tanda bagus, tanda bersetuju.
Saddam yang memerintah Iraq melebihi dua dekad yang menyaksikan penindasan kejam, perang dan sekatan antarabangsa dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah terhadap pembunuhan 148 penduduk Syiah di Dujail pada 1982. –
Sumber:AFP
Sumber:AFP