Orang Iban Berpesta Makan Ular - Bulletin Saya

Monday 28 May 2018

Orang Iban Berpesta Makan Ular

0
Orang Iban Berpesta Makan Ular
ULAR yang ditangkap di Hutan Sungai Kelawit amat besar sehingga terpaksa dibawa menaiki sebuah trak pikap.


Segelintir masyarakat Iban di Sarawak cukup menggemari sajian ular sawa kerana dagingnya didakwa lebih manis selain menguatkan tenaga batin.

PAGI itu, Ujang Tinsung, 60, keluar seperti biasa untuk pergi memburu ular di Hutan Sungai Kelawit, Bintulu, Sarawak. Hujan renyai-renyai yang turun tidak sedikit pun mematikan langkahnya memandangkan ia sudah menjadi rutin harian seorang pemburu sepertinya.

Sebaik sahaja tiba di hutan itu, Ujang berdiri berhampiran sebatang kayu balak besar yang sudah tumbang dan tiba-tiba cuping telinganya menangkap satu bunyi misteri.
“Bunyinya seperti haiwan yang sedang mengawan. Saya kemudiannya memberanikan diri untuk mendekati kayu balak besar itu sebelum ter­nampak dua ekor ular sedang bersenggama.
“Seekor ular bersaiz kecil, manakala seekor lagi cukup besar, kira-kira lima meter panjangnya. Saya sendiri tidak pernah melihat ular sawa sebesar itu,” katanya yang menjadikan Hutan Sungai Kelawit sebagai lokasi kegemaran untuk memburu.
Sudah namanya pun pemburu, apa sahaja yang melintas di hadapan pasti menjadi mangsa peluru senapang­nya. Ujang terus melepaskan dua das tembakan yang tepat mengenai ke­dua-dua ekor ular sawa itu.
Katanya, ular sawa kecil mati terkena tembakan di badan, manakala reptilia gergasi itu pula terbunuh disebabkan tembakan tersebut terkena tepat ke kepalanya.
“Saya kemudiannya memberitahu orang kampung tentang kemunculan haiwan itu dan meminta sesiapa yang mempunyai gergaji untuk membawanya kepada saya bagi digunakan untuk memotong kayu balak tersebut.
PERBANDINGAN saiz tapak tangan seorang lelaki dewasa dengan badan ular gergasi.

“Sebaik dipotong, kami yang ada di kawasan itu memang terkejut kerana reptilia itu cukup besar dengan berat lebih 100 kilogram dan panjang me­lebihi tujuh meter,” ujarnya.
Dimasak kicap
Ceritanya, ini adalah kali pertama kampung itu ‘dikunjungi’ dengan haiwan gergasi, namun tidak mustahil jika masih ada lagi yang terlepas kerana hutan itu memang menjadi populasi pelbagai haiwan reptilia.
“Macam mana mahu cari, hutan ini besar, ular pun bukan selalu keluar. Ini kira rezeki lah,” jelas Ujang.
Tidak lama kemudian, penduduk rumah panjang itu seperti ‘berpesta’ kerana ular sawa gergasi itu dijadikan hidangan bagi menjamu kira-kira 100 peng­huni rumah panjang itu.
Kata Ujang, memandangkan ia merupakan haiwan eksotik yang sukar ditemui, ular sawa itu dijadikan hidangan kepada semua penduduk kampung.
Kegemaran memakan ular sawa bukanlah satu benda pelik bagi sesete­ngah suku kaum di Sarawak kerana mereka percaya memakan ular sawa mampu meningkatkan tenaga batin.
Kru Panorama berkesempatan menebu bual seorang suku kaum Iban yang hanya mahu dikenali sebagai Alvin yang cukup menggemari sajian ular sawa.
ULAR masak kicap merupakan antara menu ular paling disukai masyarakat Iban.


“Sekiranya saya berjaya menangkap ular sawa, saya akan masak kicap dan dimasak bersama bawang serta lengkuas. Memang enak.
“Tidak ramai yang tahu bahawa kandungan protein pada daging ular amat tinggi dan ia juga meningkatkan nafsu seksual selain meningkatkan tenaga batin,” katanya berseloroh.
Alvin memberitahu, rasa daging ular sawa manis, malah lebih sedap daripada daging ayam. Ia juga boleh digoreng dengan kunyit dan dimakan begitu sahaja.
Kebiasaannya, daging ular sawa boleh didapati di pasar-pasar sekitar Siburan dan Serian dengan harga RM25 satu kilogram.
Bagi seorang masyarakat Bidayuh yang hanya mahu dikenali sebagai Jasz, hidangan eksotik seperti ular paling sedap jika dimasak kari.
“Selain kari, ia juga sedap jika digoreng dengan serai atau dimasak pansuh iaitu dimasak dalam buluh. Begitu pun, ia bergantung kepada cita rasa masing-masing,” ujarnya.
Jelmaan nenek moyang
Segelintir masyarakat Iban yang agak moden bagaimanapun enggan memakan ular.
“Saya pernah diberitahu oleh segelintir masyarakat Iban bahawa sekiranya mereka pernah bermimpi bertemu dengan ular, ia merupakan satu ‘petanda’ untuk tidak lagi memakan ular.
“Hal ini kerana ular tersebut merupakan jelmaan nenek mo­yang mereka dan tidak seharusnya memakan nenek moyang sendiri,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar, Sarawak Forestry Corporatin (SFC), Oswald Braken Tisen berkata, pihaknya tidak menolak berkemungkinan ular sawa gergasi yang dijumpai di Bintulu itu pada Februari lalu adalah yang terbesar setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, ia bukanlah daripada susur galur anakonda kerana spesies itu tiada di sini dan hanya boleh didapati di Hutan Amazon.
“Berdasarkan pemerhatian, kami percaya ular sawa itu daripada spesis Phyton Reticulatusyang mudah ditemui di Borneo.
“Bagaimanapun, saiznya yang gergasi itu menjadikan ia satu penemuan pelik dan mengujakan kerana belum ada lagi ular sawa bersaiz gergasi yang ditemui di Sibu,” katanya.
Menurut Oswald, suatu ketika dahulu juga agak kecoh apabila ada kelibat penampakan seekor ular sawa gergasi dikenali Ular Nabau yang dirakam dari udara sedang berenang merentasi Sungai Baleh di Sibu.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada lagi khabar me­ngenai haiwan itu sejak gambarnya berjaya dirakam seorang anggota penyelamat yang menaiki helikopter ketika meninjau operasi banjir pada 11 Februari 2009.
Reptilia berwarna hitam dengan panjang sekitar 33 meter itu dikaitkan dengan legenda Nabau atau ular jelmaan dalam bahasa Iban.
Spesies dilindungi
Oswald memberitahu, kegiatan menjual haiwan kepada peraih untuk meraih keuntungan berlipat kali ganda antara satu aktiviti yang berlaku selepas mereka berjaya memperoleh sesuatu haiwan itu.
“Dengan penemuan ular sawa gergasi seperti ini, memang tidak mustahil jika ada pihak yang menjualnya kulit ular yang berkualiti,” ujarnya.
Bagaimanapun, membunuh dan menjual ular sawa kepada mana-mana pihak merupakan satu kesalahan memandangkan reptilia tersebut adalah spesies yang di­lindungi di Sarawak.
Menurutnya, penduduk juga sepatutnya membuat laporan polis selepas mengambil sesuatu tindakan terhadap spesies haiwan yang dilindungi di negeri ini.
“Sebenarnya, mereka dibenarkan membunuh hidupan liar dilindungi ini sekiranya haiwan itu didapati mengancam manusia tetapi jika sekadar suka-suka, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000,” ujarnya.

sumber:Kosmo

Misteri Batu Nabau



Misteri kewujudan Batu Nabau sehingga kini masih belum terungkai meskipun kisah mengenainya sering kali mendapat perhatian media.

Batu Nabau ialah bongkah batu yang menyerupai seekor ular gergasi dipercayai berusia lebih 1,000 tahun yang terletak kira-kira 50 meter dari Rumah Nyalau Muang, Engkilili,Sarawak dimana panjang batu ini melebihi sembilan meter, manakala ukuran lilitnya pula kira-kira dua meter.

Perjalanan menuju ke Batu Nabau tersebut mengambil masa selama lebih setengah jam.

Rumah panjang Nyalau terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari pekan Engkilili dan cara untuk sampai ke lokasi batu itu pengunjung perlu mendaki dan menuruni sebuah bukit dari Rumah Nyalau.

Kebanyakan pengunjung tidak akan melepaskan berkunjung ke Bukong dan melihat sendiri batu nabau tersebut.

Bagi mereka yang peertama kali melihatnya pasti merasa gerun kerana ianya kelihata seperti seekor ular yang seakan-akan sedang menanti mangsa.

Walaubagaimanapun, panjang sebenar batu berkenaan tidak diketahui kerana ada bahagian batu tersebut terbenam jauh kedalam tanah.

Menurut penduduk kampung, batu berkenaan pada asalnya berwarna putih dan berubah dengan sendirinya kepada corak yang seakan-akan ular.

Namun begitu, ada pantang larang yang sering diberitahu oleh penduduk iban tempatan kepada setiap pengunjung supaya tidak bercakap takbur dan tidak dibenarkan “menganggu” samaada secara lisan mahu pun melontarkan sebarang objek ke arahnya. Jika dilanggar pantang larang tersebut pasti buruk akibatnya.

Kewujudan Batu Nabau tersebut tersebar luas setelah seorang lelaki berketurunan Siam mendakwa bermimpi bertemu ular gergasi yang disumpah menjadi batu.

Oleh yang demikian, lelaki tersebut nekad mencari dan akhirnya berjaya menjumpai ‘ular’ batu seperti yang dimimpikan olehnya itu.-Sarawakiana
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment