Terimakasih Drastix Cafe Beri Makanan Percuma Untuk Pelajar IPT Di Shah Alam
sumber...mStar
SHAH ALAM: Ada yang berpendapat usia dan pengalaman akan mematangkan diri.
Namun bagi pemilik Drastix Cafe, Aifa Azman, 25, pengalaman benar-benar mengajarnya erti kehidupan.
Kesusahan yang dihadapi ketika menuntut di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Johor tujuh tahun lalu membuatkan Aifa nekad menghulurkan bantuan dengan memberikan makanan percuma khusus buat pelajar yang menghadapi masalah kewangan.
"Kawan-kawan yang rapat mereka tahu saya selalu makan mi segera. Adakalanya saya terpaksa ikat perut kerana kekurangan wang belanja.
"Situasi itu membuatkan saya sedar, apa yang saya perlukan ketika itu hanyalah makanan", katanya ketika ditemui mStar Online.
Sebelum ini posting Aifa di media sosial bagi memperkenalkan program 'nasi bujang' percuma buat penuntut IPT sekitar Shah Alam menjadi tular dan mula menerima respon positif daripada pelajar sebaik ia dimuatnaik pada 19 September lalu.
Bagaimanapun ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, sekali-sekala dia akan menukar menu makanan percuma yang lebih istimewa sekiranya ada pihak yang menghulurkan bantuan.
"Sejak ia menjadi viral di media sosial, beberapa individu yang enggan dikenali tampil memberikan bantuan berbentuk wang tunai bagi membantu dalam program ini.
"Kalau ada rezeki lebih saya akan tukar menu lain seperti ayam masak sambal dan nasi goreng," katanya.
Menurut Aifa, dia yang kehilangan ibunya sejak berumur 22 tahun nekad membuka kedai makan menggunakan wang simpanan yang ditinggal ibunya itu untuk menyediakan hidangan percuma sebagai niat sedekah.
"Apa yang saya buat sekarang (program makanan percuma) adalah niat untuk arwah ibu saya.
"Ibu pergi terlalu awal, ketika saya berumur 22 tahun. Jadi tidak sempat saya bekerja untuk membalas jasa ibu.
"Saya cuma berharap apa yang saya lakukan ini dapat membantunya di sana", ujarnya.
sumber...mStar