Little India Tempat Beli Belah Terhebat Ketika Deepavali - Bulletin Saya

Friday 2 November 2018

Little India Tempat Beli Belah Terhebat Ketika Deepavali

0
Little India Tempat Beli Belah Terhebat Ketika Deepavali

Setiap kali menjelang perayaan Deepavali, “Little India” yang terletak di Jalan Tengku Kelana, Bandar Klang Selatan ini pasti menjadi tumpuan khususnya masyarakat India untuk membeli-belah bagi menyambut hari kebesaran itu.

Pada tahun ini, perayaan untuk penganut agama Hindu itu yang juga dikenali sebagai Diwali itu akan disambut pada 6 November.

Terdapat lebih 100 buah kedai di kawasan membeli-belah ini yang dikatakan didirikan sekitar kurun ke-18 lagi.

Liitle India ini pastinya menjadi tumpuan terutamanya kaum wanita yang tinggal di Lembah Klang. Persaingan sengit antara peniaga membolehkan mereka mendapatkan harga yang lebih murah

Namun di sebalik suasana meriah itu, kejadian mencuri yang dilaporkan berlaku di kawasan membeli-belah Little India sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan di kalangan pengunjung dan menjejaskan perniagaan pekedai.

Ketatkan langkah keselamatan
Presiden Little India Entrepreneurs Association, N.P. Raman berkata sejak kebelakangan ini semakin banyak berlaku kejadian ragut yang mencemarkan nama baik kawasan komersial itu yang turut menjadi tumpuan pelancong.

Beliau mencadangkan supaya polis memasang lebih banyak kamera pengawasan serta menambah rondaan dari jalan di luar Gereja Our Lady of Lourdes Church hingga ke kawasan komersial termasuk Jalan Mohet dan Lorong Tingkat.

“Setiap hari ada purata 5 hingga 10 kes ragut di bandar Klang dan kebanyakan mangsa adalah kaum wanita. Banyak kes dilaporkan sepanjang Jalan Tengku Kelana dan di hadapan barisan kedai sepanjang Jalan Istana di samping tempat tumpuan lain seperti Jalan Tengku Kelana 2 dan Lorong Tingkat.

“Orang ramai akan berasa lebih selamat jika ada anggota polis membuat rondaan. Langkah ini juga akan menjadikan mereka yang hendak membeli-belah di kawasan ini berasa keselamatan mereka lebih terjamin, “ beliau memberitahu Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Menurut Raman peragut akan mengelilingi kawasan berkenaan dan menyerang mangsa ketika mahu keluar daripada kenderaan mereka.

Beliau mencadangkan polis mengadakan kawalan di Jalan Tengku Kelana seperti Ops Payung yang sudah tentunya akan membuatkan pengunjung ke Little India berasa selamat sepanjang musim perayaan Deepavali ini.

“Bagus juga jika polis dapat membuat pemeriksaan rambang ke atas penunggang motosikal yang masuk ke kawasan Little India dan orang yang kelihatan meragukan.
“Sekiranya polis membuat pemeriksaan MyKad penunggang motosikal, sedikit sebanyak ini akan dapat mencegah peragut daripada berleluasa, “ katanya.

Audit bangunan
Sementara itu, presiden Persatuan Jaringan Usahawan India Malaysia (1Mine), Datuk S Gopinath berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu menjalankan audit ke atas bangunan yang dibina sebelum perang di jalan berkenaan serta berhadapan Jambatan Musaedin untuk memastikan bangunan itu dalam keadaan selamat.

Kata beliau keadaan fisikal bangunan itu perlu dinilai setiap kali bertukar pemilik, perubahan fungsi premis dan kerja pengubahsuaian.

“Memandangkan kebanyakan rumah kedai di Jalan Tengku Kelana adalah bangunan sebelum perang, audit yang kerap perlu dibuat untuk keseluruhan bangunan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini, “ katanya.

Beliau menegaskan pelaksanaan audit itu penting untuk mengekalkan keunikan identiti bangunan di samping menjamin keselamatan kira-kira 250 orang peniaga yang sudah beroperasi sejak 3 generasi.

Mengulas isu keselamatan, Gopinath berkata anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga boleh digerakkan di kawasan Jalan Tengku Kelana untuk mengawal kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan seperti Deepavali.

Beliau turut mencadangkan diwujudkan Pusat Panggilan 24-jam sebagai usaha membolehkan pengunjung ke Little India memperolehi maklumat mengenai perkembangan terkini di kawasan berkenaan seperti trafik dan banjir supaya mereka dapat merancang perjalanan.

Peruntukan RM6 juta
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihak majlis bersetuju memasang 5 kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Jalan Tengku Kelana untuk tempoh musim perayaan.

Antara lokasi untuk pemasangan CCTV itu ialah sepanjang Jalan Tengku Kelana dan kawasan sekitar iaitu Jalan Pulasan, Jalan Istana dan Jalan Dato Hamzah.

“Kami akan menyewa kamera berkenaan untuk tempoh sebulan, “ katanya.

Menurut beliau kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM6 juta untuk MPK memperbaiki serta meningkatkan prasarana di sepanjang Jalan Tengku Kelana iaitu sistem perparitan dan meningkatkan pembangunan pelancongan di Little India dengan projek “Laluan Jejak Warisan Bandar Diraja Klang”.
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment