Ada Sebab mengapa Kereta Bomba Di Cat Warna Merah
Gambar: Flickr
Kebakaran sering terjadi tidak kira sama ada pada bangunan, hutan, kenderaan dan pelbagai lagi disebabkan beberapa faktor.
Sekiranya kebakaran besar berlaku dan tidak dapat dikawal, pihak bomba akan dihubungi bagi mengatasi kebakaran tersebut supaya tidak menjadi lebih teruk.
Pihak bomba yang bergegas ke tempat kebakaran akan membawa trak bomba yang telah dimuatkan dengan sejumlah air untuk memadam api. Namun, di sebalik itu, pernahkah anda terfikir mengapakah trak bomba dicat dengan warna merah.
Terdapat segelintir orang yang berpendapat bahawa warna merah merupakan simbolik terhadap kecemasan seperti kebakaran yang berlaku, namun warna merah pada trak bomba mempunyai alasannya yang tersendiri.
Pada era tahun 1990-an, jalan raya dipenuhi dengan kenderaan iaitu kereta jenama Ford yang kebanyakannya berwarna hitam.
Warna tersebut digunakan kerana dapat tahan lama dan kos yang minima. Disebabkan ketika itu jalan raya dipenuhi dengan kenderaan berwarna hitam, sukar untuk membezakan trak bomba sekiranya dicat dengan warna hitam.
Pemandu trak bomba akan mengalami kesulitan kerana pemandu kereta yang lain tidak menyedari kewujudan trak bomba yang sedang bergegas ke tempat kebakaran.
Disebabkan itu, trak bomba dicat dengan warna merah agar pemandu-pemandu lain dapat melihat kenderaan besar tersebut dalam jarak yang jauh. Oleh itu, pastinya mereka akan bersedia untuk memberikan laluan kepada trak tersebut supaya perjalanannya menjadi lancar.
Selain itu, warna merah juga digunakan kerana sudah dikenali sebagai warna yang melambang kepada bahaya. Warna merah yang menonjol juga akan membuatkan pengguna jalan raya bersedia bagi menghadapi segala kemungkinan. Disebabkan itu, tanda ‘berhenti’ pada setiap simpang jalan dicat dengan warna merah.
Warna merah yang terdapat pada trak bomba sememangnya mempunyai maksud dan sejarah yang tersendiri.
Oleh itu, pengguna jalan raya sangat dinasihatkan untuk bertolak-ansur sekiranya melihat kenderaan tersebut dan memberi laluan kepadanya.
Sumber: ScienceABC