Jenazah Dr Fadi senyum macam masih hidup - Bulletin Saya

Monday 23 April 2018

Jenazah Dr Fadi senyum macam masih hidup

0
Jenazah Dr Fadi senyum macam masih hidup|


Senyumannya masih sama seperti ketika dia masih hidup,” kata Ilman Abdul Razak, salah seorang penuntut Allahyarham Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir, hari ini.

Penuntut semester empat jurusan Kejuruteraan Elektrikal Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) itu berkata, semasa hayatnya Fadi memang seorang yang ceria dan selalu tersenyum.

“Senyumannya pasti tidak akan dapat saya lupakan apabila berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir. Saya terkejut melihat senyuman itu masih ada.

“Beliau seorang pensyarah yang sangat baik kepada semua pelajarnya. Saya tidak sangka selepas ini saya tidak berpeluang lagi untuk mendengar celotehnya dalam kelas,” katanya kepada pemberita.

Penuntut semester empat jurusan sama Muhammad Shariq Hazard berkata, wajah Allahyarham Fadi dilihat sangat tenang.

“Saya lihat dia seperti sedang tidur, sukar untuk mempercayai beliau sudah tiada.
“Dia menjadi pensyarah saya sejak semester satu sehingga empat, dan memang seorang pensyarah yang hebat.

“Subjek yang sebelum ini sukar untuk difahami menjadi lebih mudah apabila dia yang mengajar, malah sentiasa mengajar luar daripada silibus,” katanya.

Seorang lagi penuntut Nur ‘Izzati Mohd Danial berkata, dia antara yang terkesan dengan kejadian yang menimpa pensyarah itu kerana Allahyarham adalah penyelia untuk projek tahun akhirnya dalam bidang kejuruteraan elektrik.

“Sampai satu tahap saya sampai terfikir untuk menangguhkan pengajian atas apa yang berlaku kerana saya seperti kehilangan mentor,” katanya

Menurut Nur ‘Izzati yang berasal dari Ipoh, Perak, dia sudah dua tahun menjadi pelajar Fadi dan kali terakhir bertemu dengan Allahyarham pada 3 petang Jumaat lalu untuk berbincang mengenai projek akhirnya.

“Dia orang yang sangat mesra dan amat murah dengan senyuman.. dia akan beri salam terlebih dahulu sekiranya terserempak dengan kami, tidak mungkin ada musuh yang mahu menyakitinya.

“Saya bersyukur dapat menatap wajahnya buat kali terakhir.. tenang dan berseri-seri, namun saya berasa amat sayu dengan kejadian yang menimpanya,” katanya dalam nada sebak.
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment