Dia panggil saya Rosmah...Memang Saya Kecil Hati Dengan Nurul Izah - Bulletin Saya

Monday 23 April 2018

Dia panggil saya Rosmah...Memang Saya Kecil Hati Dengan Nurul Izah

0
Dia panggil saya Rosmah...Memang Saya Kecil Hati Dengan Nurul Izah
Isteri perdana menteri berkata, beliau tidak meminta Nurul Izzah Anwar mencium tangannya, tetapi janganlah menggelarnya Rosmah Mansor kerana beliau lebih tua daripadanya.

Rosmah Mansor berucap pada majlis Salam Sayang Perdana Wanita Barisan Nasional yang dihadiri kira-kira 500 ahli parti itu di Pusat Komuniti Lembah Pantai, hari ini.

KUALA LUMPUR: Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kecewa dengan Nurul Izzah Anwar yang dianggap anaknya, tetapi kini memfitnah dan mengkritiknya di media sosial.
Katanya, beliau mengenali anak sulung bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sejak kecil lagi.
Bagaimanapun, beliau kecewa dengan sikap naib presiden PKR itu yang tidak menghormatinya sebagai orang tua dan disifatkannya tidak layak menjadi pemimpin.
“Memang saya kecil hati dengan dia, saya kenal dia masa dia kecil lagi sebab saya berkawan dengan mak dia (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail). Saya sering pergi ke rumah mak dia sebab disuruh masuk jawatankuasa badan kebajikan.
“Saya tahu masa itu, saya tengok dia (Izzah) gigi pun tak ada lagi, masa dia umur 6 tahun ke 7 tahun lagi saya kenal dia, sekarang dia boleh panggil, tuduh saya macam-macam dalam sosial media.
“Dia tak nak panggil saya Datin Seri Rosmah tak apa, panggilah Aunty Rosmah ke, mak cik Rosmah ke? Ini tak, terus-terus panggil saya Rosmah Mansor.
“Tak apa kalau nak politik, politiklah, tapi jangan panggil orang nama sahaja, saya terasa. Saya umur 65 tahun, panggilah saya isteri Datuk Seri Najib ke, mak cik Rosmah ke, ada juga tanda hormat sikit,” katanya berucap pada majlis Salam Sayang Perdana Wanita Barisan Nasional di Pusat Komuniti Lembah Pantai, hari ini.
Rosmah berkata, tidak kira wakil rakyat parti pemerintah mahupun pembangkang, mereka masih perlu menghormati dan menjaga perasaan orang lain.
“Jadi, orang macam ini kita nak pilih jadi wakil rakyat, kalau kita nak wakil rakyat yang boleh tolong kita, yang harus menghormati perasaan orang lain.
“Kita tak payah bersandiwara bahawa kita cerita kat orang kita ini baik, kalau benda asas macam itu tak boleh tahu nak hormat. Bukan saya nak suruh dia cium tangan saya, tapi janganlah panggil saya Rosmah Mansor, saya ini lebih tua daripada dia.”
Beliau berkata, menyedari kepentingan menghormati orang lain, beliau mewujudkan program Permata Negara untuk mendidik generasi muda menghormati orang lebih tua supaya mereka tidak mengikut jejak Izzah.
“Saya tak berkenan tengok perangai macam dia (Izzah). Saya tak nak orang muda-muda perangai macam ini, sebab itu kita buat program Permata negara, kita ajar budak-budak ini hormat orang tua, macam mana nak hormat ibu bapa, hormat kepada cikgu, sekarang ini kita kena balik (kepada) asal sebab nilai itu sudah hilang.
“Yang besar kita tak boleh buat apa, kita ajar yang kecil-kecil ini. Jadi, sekarang syukur budak-budak ini dah pandai hormati cikgu, hormat ibu bapa, hormat orang tua, itu saya nak tengok. Pada masa akan datang, bila besar dia akan hormat orang tua.”
Sementara itu, Rosmah menafikan dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya beliau memiliki cincin berlian dari Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, beliau mengakui pernah melihat cincin berlian yang dikatakan Rafizi itu.
“Beliau kata saya ada cincin berlian, kejap kata RM8 juta, kejap RM24 juta, kejap RM86 juta, beliau pun tak tahu apa beliau kata.
“Ada orang nak bawa masuk berlian suka dialah, nak bawa masuk 60 carat ke, berlian merah ke? Orang bawa masuk untuk saya tengok, jadi saya tengoklah, saya kata cantik cincin itu, tapi saya kata baik hantar balik cincin itu.
“Saya tidak beli cincin itu, tak ada dalam simpanan saya, memang tak ada. Apa yang dibaca itu jangan percaya, ini semua cerita rekaan sebab beliau nak semua rakyat benci kepada Datuk (Seri) Najib (Razak), benci pada saya.”
Rosmah mengingatkan pemimpin pembangkang supaya memfokuskan kebajikan rakyat, bukannya berusaha menjatuhkan Najib dan beliau.
“Mereka nak jerat saya, mereka nak manipulasi, mereka nak kelirukan pemikiran orang,” katanya sambil menasihatkan rakyat tidak termakan fitnah pembangkang cuba memburukkan Najib dan dirinya, sebaliknya perlu mendengar penjelasan mereka sebelum membuat kesimpulan.
“Kadang-kadang Datuk Seri Najib tak kuasa nak jawab, beliau seorang yang penyabar, saya sebagai isteri beliau tengok beliau banyak sabar, kadang-kadang saya tak sabar, beliau lagi sabar dari saya.
“Kadang-kadang saya tengok ada orang tengok muka saya takut sebab dia ingat saya nak makan orang, kata saya sombong, saya garang ‘control’ Datuk Seri Najib, itu semua tak betul. Kalau saya jalan depan sikit, orang kata saya nak jadi perdana menteri, itu tak betul.
“Contoh saya pergi Parlimen, saya nak dengar bajet. Saya masuk dalam satu bilik untuk minum teh, saya dijemput, jadi saya masuk, ada orang kata saya pulak nak jadi perdana menteri nak bentang bajet.”
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment