Tujuh Tahun Tak Berjumpa,Keluarga mahu jenazah imam Palestin dibawa pulang ke Gaza - Bulletin Saya

Sunday 22 April 2018

Tujuh Tahun Tak Berjumpa,Keluarga mahu jenazah imam Palestin dibawa pulang ke Gaza

0
Tujuh Tahun Tak Berjumpa,Keluarga mahu jenazah imam Palestin dibawa pulang ke Gaza

Keluarga pensyarah dan imam warga Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang mati ditembak di Setapak semalam, merayu agar jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan di negara kelahirannya.
Menurut Pengurus Besar Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) Dr Mahmoud Shakfa, keluarga Allahyarham telah berpesan supaya perkara itu dibuat bagi membolehkan mereka menatap wajah arwah buat kali terakhir setelah tujuh tahun tidak berjumpa.
“Ayah Dr Fadi telah menghubungi kami meminta supaya jenazahnya dibawa pulang ke tempat kelahirannya di Jabalia, Gaza. Seluruh keluarganya terutama ibu dan adik-beradiknya ingin menatap wajahnya buat kali terakhir.
“Usaha sedang giat dijalankan melalui kerjasama pihak kedutaan Palestin, Mesir dan juga Malaysia bagi urusan logistik untuk membawa jenazah ke Gaza,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang di Kuala Lumpur hari ini. Jenazah kini berada di hospital itu untuk proses bedah siasat.
Difahamkan, abang mangsa dijangka tiba petang ini dari Jerman.
Ditubuhkan pada 2016 sebagai badan bukan berasaskan keuntungan bebas berpangkalan di Malaysia, IESCO bertujuan menyokong dan membangunkan sektor pendidikan, kebudayaan dan saintifik dunia Arab dan Islam amnya, khususnya di kawasan yang kurang bernasib baik.
Sementara itu, Anggota Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Mohd Zin Kandar berharap kerajaan membantu memudahkan urusan membawa pulang jenazah ke Palestin.
Badan itu juga berharap kerajaan Mesir memudahkan proses berkenaan atas dasar kemanusiaan.
“Berdasarkan pengalaman, laluan paling pantas untuk ke Gaza adalah melalui Rafah di sempadan Mesir dan Palestin. Jadi harapan kami ialah supaya semua pihak berkaitan dapat memberi kerjasama penuh,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Dr Fadi ditembak mati ketika berjalan ke surau dekat sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat subuh.
Polis setakat ini tidak mengumumkan identiti mangsa tetapi Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur berkata mangsa dikenali sebagai Dr Fadi Mohammed Al Batsh.
- Bernama

Isteri imam maut ditembak masih trauma, terpaksa ambil ubat


Isteri arwah Dr. Fadi (tudung berwarna krim), Enas Al Batsh kelihatan sugul di luar Unit Forensik, Hospital Selayang hari ini.

SERI KEMBANGAN: Isteri kepada imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, yang ditembak mati awal pagi semalam, masih dalam keadaan trauma dan terpaksa mengambil ubat untuk membolehkannya tidur serta berehat.

Wanita dikenali sebagai Enas berusia 30 tahun itu juga sering meminta rakannya supaya mengatakan berita suaminya mati ditembak itu hanyalah mimpi dan suaminya akan kembali selepas ini.

Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Fauziah Mohd Hasan, berkata keadaan Enas itu dimaklumkan kepadanya oleh rakan wanita terbabit yang juga komuniti wanita Palestin di kediaman mangsa.

Beliau berkata, dua anak pasangan terbabit yang berusia antara enam bulan hingga empat tahun berada dalam jagaan jirannya kerana tidak mahu mereka melihat keadaan Enas yang masih trauma.

"Kami difahamkan isteri mangsa baru saja mendaftarkan diri untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengajian Islam.

"Kami berharap ahli keluarga Allahyarham Fadi terutama isteri dan anak-anaknya tabah menghadapi dugaan ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa yang juga seorang pensyarah sebuah universiti swasta di ibu negara ditembak mati ketika berjalan ke surau di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh.

Sementara itu, Fauziah berkata, MyCARE akan menubuhkan tabung khas kutipan dana untuk membantu meringankan beban kewangan ahli keluarga Allahyarham Fadi di Malaysia.

"Dengan adanya dana daripada tabung ini, ia dapat mengurangkan beban kewangan ahli keluarga arwah terutama untuk urusan pengebumian sama ada dilakukan di sini atau di Gaza.

"Justeru, saya berharap ia mendapat kerjasama orang ramai supaya menyumbang dalam tabung khas ini sebaik ditubuhkan nanti.

"Pada masa sama, kami bersedia menanggung kos pengebumian dan penghantaran jenazah Fadi ke Gaza sekiranya keputusan sudah dimuktamadkan oleh waris keluarganya nanti," katanya. - BHarian

Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment