Wanita Mati Di Sedut Keluar Dari Tingkap Pesawat
SEORANG wanita bagaikan disedut mesin hampagas apabila tiba-tiba melayang keluar dari tingkap sebuah pesawat selepas berlaku letupan di bahagian enjin.
Saksi berkata, insiden ngeri itu berlaku dalam penerbangan Southwest Airlines 737 dari La Guardia, New York ke Dallas, pagi Selasa.
Menurut mereka, letupan berlaku tidak lama selepas pesawat berlepas dan sebahagian serpihan berterbangan dari enjin sebelum ia memecahkan tingkap pesawat.
Bagaimanapun, pesawat yang membawa 149 penumpang itu berjaya melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Philadelphia (PHL) pada 11.20 pagi.
Sewaktu insiden, serpihan yang mengenai tingkap menyebabkan seorang wanita melayang keluar akibat angin kencang dan beberapa penumpang bergelut untuk menyelamatkannya.
"Sebahagian badan wanita itu melayang keluar namun sempat ditarik balik oleh penumpang lain.
"Selepas pesawat melakukan pendaratan cemas, dia terus dikejarkan ke hospital," ujar salah seorang penumpang, Todd Baur kepada NBC 10.
Bagaimanapun, mangsa kejadian itu meninggal dunia, manakala tujuh penumpang lain cedera akibat terkena serpihan letupan itu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Jennifer Riordan, seorang eksekutif perbankan dan ibu kepada dua cahaya mata dari Albuquerque, New Mexico.
Seorang lagi penumpang, Marty Martinez, sempat membuat siaran 'live' Facebook sewaktu kejadian itu berlangsung.
Martinez yang ditemui CBS selepas kejadian berkata, dia membuat rakaman kerana menganggap itu detik terakhir dalam hidupnya.
Beberapa penumpang lain turut merakam diri mereka yang sedang bernafas menggunakan topeng oksigen selepas letupan yang mana pada waktu itu pesawat terbang pada ketinggian 9,906 meter.
Dalam pada itu, jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia berkata, pesawat berkenaan ke Dallas Love Field (DAL) terpaksa dilencongkan ke PHL kerana insiden itu.
"Pesawat mendarat dengan selamat. Tiada gelongsor digunakan. Penumpang dibawa turun menggunakan tangga dan diiring ke terminal," ujarnya.
Dua tahun lalu, sebuah pesawat Southwest Airlines turut rosak, yang mana penumpang menangkap gambar sebahagian badan pesawat yang hilang.
Pesawat itu yang terbang dari New Orleans ke Orlando terpaksa membuat pendaratan cemas selepas mengalami masalah enjin.
Penumpang turut bertindal memuat naik foto enjin berkenaan yang tercabut ke laman Twitter.
Selain enjin, beberapa bahagian badan pesawat seperti sisi depan sayap turut mengalami kerosakan.
Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kesemua mereka mendarat dengan selamat di Pensacola, Florida.
Malah, kesemua penumpang turut bersorak kerana kagum dengan kecekapan juruterbang yang berjaya mengendalikan pendaratan dengan selamat.-Unilad.co.uk