Google Maps Kesan MH370 dalam hutan tebal Kemboja
LONDON – Seorang pakar pemetaan dari United Kingdom (UK) mendakwa dia menemui pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dengan menggunakan aplikasi peta, Google Maps, lapor sebuah akhbar semalam.
Ian Wilson percaya bahawa bangkai pesawat yang membawa 239 orang itu berada jauh di dalam hutan tebal di Kemboja.
Wilson merancang untuk mengembara ke lokasi tersebut bagi membuktikan kebenaran teorinya.
Pesawat malang itu berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac 2014 bersama 227 penumpang dan 12 kru.
Bagaimanapun, ia hilang semasa penyerahan tugas kawalan antara pengawal trafik udara Malaysia dan Vietnam, manakala transponder pesawat telah ditutup.
Wilson memberitahu akhbar Daily Star Online: “Saya meneliti Google Earth berjam-jam untuk mencari lokasi di mana pesawat itu jatuh.
“Akhirnya, seperti mana anda boleh lihat lokasinya. Ia berada di kawasan hutan paling tebal dan paling gelap (di Kemboja.)”
Para penyiasat melakukan segala usaha sejak pesawat jenis Boeing 777-200 itu hilang. Di sebalik menerbitkan laporan setebal 1,500 muka surat, mereka mengaku masih tidak pasti apa yang berlaku kepada pesawat malang itu.
Sementara itu, Arkib Biro Siasatan Pesawat berkata, pihaknya tidak dapat menolak atau mengesahkan penemuan di Google Maps itu adalah MH370.
sumber– Daily Star Online,Agensi