Nostalgia Surat Berisi Bedak Berbau Wangi - Bulletin Saya

Tuesday, 9 October 2018

Nostalgia Surat Berisi Bedak Berbau Wangi

0
Nostalgia Surat Berisi Bedak Berbau Wangi

Berkhidmat di kawasan kampung, Othman berkata, dia kerap kali menghantar surat cinta yang berbau wangi.

KUALA NERANG: Sempena Hari Pos Sedunia hari ini, seorang pesara posmen Pos Malaysia mengimbau kembali pengalaman manisnya, termasuk ketika menghantar surat cinta ke rumah pelanggan.

Katanya, menghantar surat dari rumah ke rumah mungkin dianggap satu tugas mudah tetapi realitinya, kerjaya sebagai posmen berdepan pelbagai cabaran, termasuk risiko kemalangan jalan raya, berhujan dan berpanas sepanjang hari.

Othman Sahidan, 61 tahun, dari Kampung Alor Yoi, Jalan Nai Teh, Kuala Nerang, Kedah, berkongsi suka dukanya sepanjang 32 tahun berkhidmat.

Menurutnya, dia memulakan tugas pertama pada 31 Mac 1981, pada usia 24 tahun.

"Sejak itu, boleh dikatakan rutin harian tidak pernah berubah. Keluar jam 8 pagi, pulang ke rumah jam 4.30 petang," katanya sambil menceritakan 'sistem nombor' yang digunakan ketika itu untuk menyusun surat berdasarkan alamat.

"Kalau nak pergi kerja, kita ikut susunannya dulu, barulah boleh pergi. Kalau tidak, sila-silap kena patah balik pula. Kita susun, ikut jalan (alamat).

"Zaman dahulu, meriah. Banyak surat sekali bawa. Paling kurang pun ada 300 lebih dalam sehari," tambahnya.

Kata Othman, pada tahun pertama, dia berkhidmat di Pejabat Pos Jalan Raja, Alor Setar.

Ketika itu, kebanyakan posmen menggunakan basikal untuk menghantar surat dan ada di antara mereka perlu berbasikal sejauh 20 kilometer setiap hari, tanpa mengira hujan atau panas.

Berkhidmat di kawasan kampung, Othman berkata, dia kerap kali menghantar surat cinta yang berbau wangi, yang diletakkan bedak talkum di dalam sampulnya.

"Ada surat yang seperti itu. Kita boleh bau. Kita tepuk-tepuk (sampul surat), keluar macam bedak," katanya.

Kini, walaupun sudah lima tahun bersara, Othman tidak pernah melupakan kenangan sewaktu masih berkhidmat sebagai posmen.

Hari Pos Sedunia disambut pada setiap 9 Oktober oleh pentadbiran pos di seluruh dunia.


Ia bertujuan memberi kesedaran kepada umum mengenai peranan pos dalam pembangunan sosial dan ekonomi global.

sumber:Astro
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment