Rumah Agam Turki Kini Istimewa Di Mata Warga Asing - Bulletin Saya

Monday, 15 October 2018

Rumah Agam Turki Kini Istimewa Di Mata Warga Asing

0
Rumah Agam Turki Kini Istimewa Di Mata Warga Asing
DERETAN rumah-rumah agam yang tersergam indah di sepanjang perairan selat Eropah dan Asia itu kelihatan begitu gah.
Deretan itu menyerlahkan lagi pemandangan bandar Bosphorus sekali gus membentuk satu kawasan yang paling ikonik di Istanbul.

Ditambah pula, perairan itu berada betul-betul di hadapan pintu rumah pemilik agam berkenaan atau lebih dikenali sebagai yalis.

Kini, pemilik-pemilik rumah berkenaan sedang berusaha mendapatkan pulangan tunai hasil daripada jualan aset mewah mereka. Ini semua gara-gara ekonomi di Turki yang kian merosot sejak kebelakangan ini.

Pemilik baharu diharapkan dapat membayar sehingga AS$3 juta (RM12.4 juta) untuk memiliki aset premium berkenaan dan dengan harga yang tinggi seperti itu, ia menandakan kejatuhan drastik bagi pemilikan rumah-rumah besar di Turki.

Broker hartanah Istanbul memberitahu AFP bahawa daripada 600 buah rumah agam yang terdapat di sepanjang perairan Bosphorus, 60 daripadanya sudah terjual.

Memandangkan lira Turki sedang menjunam akibat tindak balas dengan Amerika Syarikat, ramai pembeli berpendapat sekarang adalah masa yang tepat untuk merampas aset hartanah sementara mata wang sedang murah.

Jualan perlu berada dalam mata wang lira Turki kerana sebelum ini Presiden Recep Tayyip Erdogan telah mengharamkan penjualan, sewa atau pajakan harta yang dijalankan melalui mata wang asing.

Broker hartanah mengatakan bahawa dalam pemulihan utama, hampir kesemua prospek pembeli tidak pernah ke Turki, mereka berkemungkinan dari Asia Barat, misalnya dari Teluk terdekat di Ankara, Qatar.

“Pelabur dari Teluk percaya bahawa mata wang lira akan naik nilainya dalam masa terdekat dan pelaburan mereka akan mendatangkan pulangan lumayan dalam masa yang singkat,” kata Pengarah Jualan Anka Invest, Hamed Elhamian.


Aset berharga
Terang Elhamian, penduduk tempatan tidak lagi melihat kepentingan hartanah di Turki.

“Ramai penduduk tempatan dan pemaju Turki ingin menjual hartanah mereka kepada warga asing yang ingin membeli aset mewah bernilai lebih daripada AS$250,000 (RM1.03 juta).

“Orang-orang dari Asia Barat datang dan membeli hartanah ini di sini kerana memiliki rumah besar di Bosphorus, Istanbul adalah seperti mempunyai tanda kekuasaan dan ia adalah pelaburan yang amat berbaloi,” jelasnya.

Perunding hartanah mewah, Ugur Ayhan pula berkata, pembeli asing telah menunjukkan minat yang lebih besar untuk memiliki aset di Turki sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kami melihat sebahagian besar prospek yang berpotensi membeli hartanah berkenaan adalah dari negara-negara Asia Barat seperti Azerbaijan.

“Satu lagi tarikan, apabila warga asing membeli sebuah hartanah di Turki, mereka kemungkinan mendapatkan perlepasan pasport yang menawarkan perjalanan santai atau bebas visa ke destinasi utama,” ujarnya.

Turki memudahkan rakyat asing untuk menjadi warga Turki dengan mengurangkan kriteria kewangan dan pelaburan untuk kewarganegaraan.

Orang asing kini perlu mendepositkan AS$500,000 (RM2.07 juta) di bank Turki berbanding sebelum ini AS$3 juta (RM12.4 juta) sementara pelaburan modal tetap dipotong daripada AS$2 juta (RM8.3 juta) kepada AS$500,000 (RM2.07 juta) sahaja.

Dan yang paling penting, individu yang memiliki harta bernilai AS$250,000 (RM1.03 juta) atau lebih kini berhak menjadi warganegara Turki, berbanding nilai sebelumnya yang diperlukan iaitu AS$1 juta (RM4.15 juta).

Namun, Ayhan berkata, sementara langkah-langkah terkini sedang dilakukan untuk meningkatkan permintaan terhadap pangsapuri yang baru dibina di Istanbul, yalis merupakan aset ultra mewah yang melangkaui kemampuan kebanyakan pembeli.

“Tidak mungkin semua pembeli hartanah mampu membeli pangsapuri mewah, apatah lagi yalis dengan harga AS$250,000 (RM1.03 juta) sebuah,” katanya.

Di antara beratus-ratus rumah di kedua-dua belah Bosphorus, 360 daripadanya mempunyai nilai bersejarah.

Bangunan bersejarah

Bagi rumah-rumah yang bersejarah, pembeli berpotensi perlu mendapat kebenaran daripada kedua-dua pengarah pembangunan Bosphorus dan dewan monumen bagi melakukan apa-apa pengubahsuaian atau untuk membuat kerosakan pada luaran bangunan.

“Undang-undang Turki tidak membenarkan bangunan bersejarah diubah suai atau mengubah struktur asal bangunan berkenaan,” kata Ayhan.

Sementara itu, salah seorang pemilik rumah besar di Bosphorus, Reha Grandjean, berkata, memiliki kediaman di perairan itu adalah sesuatu yang istimewa.

“Ia adalah harta yang menjadi tumpuan ramai pembeli kerana sebaik sahaja salah seorang daripada mereka menjual aset tersebut, semua orang mahukan yalis mereka, semua orang mahu syurga kecil itu,” katanya yang berasal daripada keluarga Perancis-Turki. – AFP

sumber:Kosmo
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment