Suara Rintihan Di Sebalik Runtuhan Tsunami Palu
“Kami mendengar banyak suara mintak tolong dari celah-celah runtuhan termasuk suara kanak-kanak,” kata pasukan penyelamat.
Usaha menyelamat kini berdepan kesukaran kerana menunggu jentera berat dibawa masuk ke Palu bagi memudahkan operasi SAR dilakukan dengan segera dan mudah.
Seorang anggota penyelamat, Thalib Bawano berkata: “Mereka meminta tolong supaya dikeluarkan segera dan kami terus memberi semangat kepada mereka supaya tidak berputus asa dan bertahan sehingga berjaya dibawa keluar.
“Kami berikan mangsa yang terperangkap air serta makanan, namun bukan itu yang mereka inginkan, sebaliknya kesemua mangsa minta dikeluarkan segera,” katanya.
Sekurang-kurangnya 1,200 orang terbunuh akibat bencana itu setakat ini dan jumlah tersebut dijangka terus bertambah dalam tempoh terdekat memandangkan masih banyak mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Selain itu, masih terdapat kawasan yang belum dapat dimasuki atau dihubungi dan juga berlaku masalah kekurangan ubat-ubatan untuk diberikan kepada mangsa bencana berkenaan.
Para penduduk yang terselamat memecah kedai untuk mendapatkan barangan asas seperti makanan, air dan juga bahan api kerana ketiadaan bantuan yang disalurkan sambil diperhatikan anggota polis yang enggan dan tidak dapat menghalangnya.
Jumlah jentera berat yang terhad dan keadaan komunikasi yang terputus menyukarkan operasi SAR disegerakan, menurut jurucakap Badan Pengurusan Nasional Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho.
Presiden Indonesia, Joko Widodo yang melawat wilayah tersebut semalam menggesa supaya operasi SAR dilakukan segera bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap.
Selain itu, Widodo juga bersetuju menerima bantuan daripada luar termasuk komuniti antarabangsa bagi menyalurkan sumbangan segera.
Dalam pada itu, Kementerian Keadilan Indonesia melaporkan kira-kira 1,200 tahanan melarikan diri daripada tiga penjara di wilayah Sulawesi susulan bencana yang berlaku.
Pegawai kementerian, Sri Puguh Utami memaklumkan bahawa keadaan penjara yang digenangi air secara tiba-tiba selepas gempa berlaku mencetuskan panik dalam kalangan tahanan dan menyebabkan mereka melarikan diri.
Sehubungan itu, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah tersebut.
Sementara itu, pasukan sukarela mengebumikan lebih 1,000 mayat mangsa dalam satu kubur besar hari ini sebagai usaha untuk mencegah penularan wabak penyakit.
Para pegawai bimbang angka korban akan meningkat dalam hari-hari yang mendatang dan bersedia untuk mendepani keadaan lebih buruk dengan mengumumkan keadaan darurat selama 14 hari. – AGENSI