Ditipu,Di Kurung Di Kemboja:Saya takkan benarkan dia cari kerja luar negara lagi - Bulletin Saya

Monday 18 February 2019

Ditipu,Di Kurung Di Kemboja:Saya takkan benarkan dia cari kerja luar negara lagi

0
Ditipu,Di Kurung Di Kemboja:Saya takkan benarkan dia cari kerja luar negara lagi

Chong Su Kyun (kiri) bersama isterinya, Catherine Jaikol dan 2 anak mereka, Olivon serta Meilerin (kanan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi.

KOTA KINABALU: Isteri seorang rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Kemboja hampir 2 bulan selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ejen pekerjaan, Catherine Jaikol tidak akan membenarkan suaminya mencari kerja di luar negara lagi.

Suaminya, Chong Su Kyun antara 47 warga Malaysia meringkuk di Penjara Banteay Meanchey hampir 2 bulan, selepas terpedaya dengan sindiket menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan.

Chong bersama 2 rakyat Sabah, Jeffrydean Jude, 19, dan Philipe Ho, 25, disatukan dengan keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi, selepas dibebaskan dari penjara di Kemboja Jumaat lalu.

Chong bimbang tidak dapat menemui Catherine dan 2 anaknya, Meilerin (8 tahun) dan Olivon (3 tahun) lagi.

“Isteri dan anak-anak saya yang saya fikirkan ketika berada di penjara. Saya takut tidak dapat pulang ke rumah.”

Catherine, 28, yang 6 bulan mengandung anak ke-3 mereka menyifatkan ia penantian menyeksakan.

“Anak-anak asyik bertanyakan bapa mereka sepanjang masa. Ia amat sukar bagi anak perempuan kami yang menghidap masalah jantung.

“Kini beliau sudah pulang, kami akan melupakan peristiwa itu. Saya tidak akan membenarkan beliau ke luar negara untuk mencari pekerjaan lagi.”

Katanya, beliau hanya tahu suaminya dipenjarakan 2 minggu kemudian, apabila Chong dibenarkan menghubungi keluarganya dari penjara.

Rakyat Malaysia lain yang dipenjarakan bersama Chong, Jeffrydean dan Ho, berasal dari Sarawak dan kebanyakan mereka disatukan dengan keluarga di Kuching, semalam.

Keputusan meluluskan pembebasan 47 rakyat Malaysia itu dibuat Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas mendapati mereka ditipu sindiket ejen pekerjaan, susulan rundingan dengan pegawai dan badan bukan kerajaan Malaysia.


Chong Su Kyun (kanan) menemui keluarganya buat julung kali selepas meninggalkan Sabah November lalu.
Chong yang merupakan mekanik berkata, beliau ditipu ke Kemboja selepas melihat iklan di Facebook yang menjanjikan gaji lumayan.

“Mereka menjanjikan gaji antara AS$1,000 hingga $1,500. Itu kira-kira RM5,000.”

Beliau menghubungi nombor telefon dalam iklan itu, sebelum diterima sebuah kumpulan WeChat.

“Saya pergi ke Kemboja pada 11 Disember, selepas tiket dibeli untuk saya. Apabila tiba di sana, seorang lelaki menyambut ketibaan kumpulan kami dan bawa kami ke sebuah banglo.”

Jeffrydean dan Ho bukan sebahagian kumpulan itu kerana mereka tinggal di rumah lain. Chong berkata, beliau menemui mereka di penjara kemudian.

“Rumah kami besar, dengan sesetengah bulik mampu memuatkan 5 hingga 6 orang,” katanya sambil menambah beberapa rakyat China dan taiwan turut ditempatkan di banglo itu dengannya.

“Kami diminta tunggu di rumah itu sehingga ada kerja untuk kami, tetapi pasport dan telefon bimbit kami diambil mereka.

“Saya bagus dalam bengkel dan dijanjikan kerja seperti itu, tetapi ia tidak muncul. Kami tunggu selama sebulan dan masih tiada berita. Pada masa sama, kami diminta membuat kerja permainan dalam talian.”

Ketika itu, beliau mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

Chong berkata, beliau memberitahu “ejen” itu beliau tidak biasa menggunakan komputer dan diminta “cepat mempelajarinya”.

Kadangkala, beliau dibenarkan menghubungi keluarganya di Sabah, tetapi hanya untuk tempoh singkat.

“Saya hanya sempat bercakap beberapa patah perkataan dengan isteri saya dan telefon akan dirampas (mereka).”

Tidak lama kemudian, mereka ditahan pihak berkuasa.

Katanya, “agensi” merekrut mereka meminta bayaran daripadanya, tetapi disebabkan tiada wang, beliau diberitahu jumlah itu akan dipotong daripada gajinya, selepas beliau mempunyai pekerjaan.

“Saya pernah bekerja di Singapura dan walaupun saya perlu membayar yuran ejen dan pasport disimpan agensi itu, mereka tidak pernah mengambil telefon saya.”


Azis Jamman (kiri) bercakap dengan rakyat Sabah – Philipe Ho, Jeffrydean Jude dan Chong Su Kyun yang dibebaskan dari penjara Kemboja.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang turut menunggu di lapangan terbang, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kemboja atas pembebasan 47 rakyat Malaysia itu.

Katanya, polis sedang berusaha menahan sindiket itu.

“Saya diberitahu polis masih menyiasat kes ini. Penipuan seperti ini menonjol di negara kita, jadi diharapkan penjenayah itu akan dibawa ke muka pengadilan.

“Kepada semua pencari kerja di luar sana, sila lebih berhati-hati. Tetapi, paling penting, rakyat kita selamat pulang ke tanah air.”

sumber;FMT
Author Image
AboutKakak Nany

seorang blogger sepenuh masa yang memaparkan isu semasa

No comments:

Post a Comment